Tidak sedap hati GPS terhenti, rupanya suami maut kemalangan

14 hours ago 9

ALOR SETAR – Perasaan tidak sedap hati seorang isteri selepas mendapati alat penjejak sistem kedudukan global (GPS) suaminya terhenti rupanya petanda lelaki terbabit maut dalam kemalangan di Kilometer 40.1 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, malam tadi.

Menurut Syahzana Roseli, 39, suaminya, Mohd. Taufik M. Saad, 41, menghadiri majlis berbuka puasa di Bertam, Pulau Pinang dan bertolak pulang ke rumah di Jitra, dekat sini dengan menunggang motosikal kira-kira pukul 8.40 malam.

“Kira-kira pukul 9.30 malam, saya periksa GPS suami dan mendapati ia terhenti. Saya cuba hubungi suami tetapi tidak dapat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Katanya, tidak lama kemudian, seorang pegawai polis menghubunginya memaklumkan tentang kemalangan itu dan memintanya ke Jabatan Forensik HSB.

“Saya macam tak percaya kerana bila polis hubungi, saya fikir mungkin mereka jumpa kad pengenalan dia (suami) tetapi orang lain, jadi saya terus ajak anak-anak ke forensik.

“Bila sampai, kami masuk dalam satu bilik dan mereka beri barang arwah, waktu itu pun saya kata dalam hati mungkin mereka jumpa barang suami tapi bukan dia. Namun selepas buat pengecaman, benarlah jenazah itu suami saya,” ujarnya sedih.

Ujarnya, mujur pegawai polis menemui nombor telefonnya di dalam dompet salah seorang anak yang ditinggalkan di motosikal kerana telefon bimbit arwah rosak teruk akibat kemalangan.

Menurut Syahzana, arwah suaminya berulang-alik ke tempat kerja di Bertam, Pulau Pinang ke Jitra setiap hari dan kebiasaannya dia memandu kereta.

“Dalam seminggu dua ini, arwah ada menunggang motosikal ke tempat kerja tetapi memang jarang dan secara kebetulan pada hari kejadian, kereta rosak menyebabkan dia terpaksa juga menunggang motosikal,” ujarnya yang merupakan penjawat awam.

Katanya, kejadian itu merentap perasaannya kerana arwah pergi ketika umat Islam mahu menyambut Aidilfitri hanya beberapa hari lagi.

“Arwah sudah beli pakaian baharu untuk saya dan empat anak tetapi baju untuk dirinya sendiri belum beli dan bercadang mahu beli malam sebelum raya. Saya pula ada beli baju Melayu warna ocean green buat suami supaya sedondon kami sekeluarga,” katanya.

Syahzana pada masa sama memohon sesiapa yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka berkaitan kejadian agar mengemukakannya kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang bekas pemain sepak takraw negara maut selepas motosikal yang dia tunggang melanggar belakang sebuah pikap yang berhenti di lorong kecemasan. Mohd. Taufik mengalami kecederaan parah pada kaki kiri dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mohd. Taufik pernah beraksi untuk skuad negara pada Sukan SEA Laos 2009 dan bekerja sebagai Pembantu Khidmat Awam di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |