Tiada surat rasmi dari AS susulan ART tidak lagi terpakai

6 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tidak menerima sebarang surat rasmi (hitam putih) daripada kerajaan Amerika Syarikat (AS) berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dimeterai antara Malaysia dan AS pada Oktober tahun lalu susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu membatalkan sebahagian besar tarif global dikenakan Presiden Donald Trump.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setakat ini makluman mengenai perkara tersebut hanya diperoleh melalui pengumuman dan keputusan yang dibuat oleh mahkamah negara berkenaan.

Katanya, dalam tempoh lima bulan, pihak AS akan membuat semakan bagi menentukan kadar tarif baharu.

“Tak ada, tak ada (pemakluman rasmi daripada kerajaan AS mengenai pembatalan ART). Dia (AS) cakap mahkamah (Mahkamah Agung AS) mengatakan keputusan itu null and void (batal dan tidak sah).

“(Tempoh) Lima bulan pertama kita bincang tetapi sekarang tengah investigate (siasat) setiap negara. Ada 60 negara (terlibat). Nanti bila dia (AS) sudah dapat dapatan itu, dia akan bagi proposal (cadangan) kepada kita Malaysia sekian sekian. Jadi kita ambil dan bincang apa syaratnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Kampung Angkat Madani di Masjid Al-Akram Kg. Datuk Keramat, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menyerahkan sumbangan kepada 230 penduduk di Parlimen Titiwangsa merangkumi wang tunai dan barangan keperluan asas sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Sebelum ini, lapan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat menggesa kerajaan menjelaskan secara terperinci dan mengesahkan secara rasmi pembatalan Perjanjian ART antara Malaysia dan AS.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, walaupun mengalu-alukan kenyataan Johari semalam yang memaklumkan bahawa ART ditandatangani antara Malaysia dan AS kini terbatal, beberapa persoalan penting masih belum dijelaskan secara rasmi.

Menurut mereka, kerajaan perlu memaklumkan sama ada Malaysia telah menghantar notis rasmi kepada kerajaan AS mengenai pembatalan perjanjian itu serta sama ada pihak Washington telah mengesahkan pembatalan berkenaan.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) menggesa diadakan Sidang Khas Parlimen bagi membolehkan Ahli Parlimen diberi taklimat dan membahaskan implikasi pembatalan perjanjian tersebut.

Bagaimanapun, Johari memaklumkan mereka perlu merujuk semula keputusan dibuat oleh Mahkamah Agung AS.

“Suruh dia (PN) baca keputusan Mahkamah AS. AS pun tak ada tulis surat kepada kita (mengenai pembatalan rasmi ART),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |