KULIM – Tempoh siasatan yang lebih panjang diperlukan untuk melengkapkan pengumpulan bukti serta menjalin kerjasama risikan dengan pihak luar bagi kes melibatkan ancaman keselamatan dan keganasan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun individu yang ditahan merupakan remaja bawah umur, prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tetap perlu dilaksanakan.
Kata beliau, kepercayaan penuh diberikan kepada polis yang menjalankan intipan perisikan sebelum membuat tangkapan setelah mengesahkan kewujudan elemen berkaitan.
“Dalam konteks ancaman keselamatan, terutama yang melibatkan pendekatan keganasan, polis tentunya memerlukan tempoh lebih panjang untuk melengkapkan siasatan, terutamanya jika ia melibatkan gerakan serantau.
“Kita terpaksa menghubungi pihak berkuasa negara jiran dan mereka kemudiannya harus melakukan pemprofilan bagi mengesahkan maklumat perisikan kita.
“Jika beberapa pelaku berpusat di luar negara, proses ini tidak mungkin selesai dalam tempoh dua atau tiga hari reman,” katanya pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2026, di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan enam individu termasuk tiga remaja bawah umur berusia 16 hingga 21 tahun yang disyaki terlibat dengan kumpulan Islamic State (IS) melalui penyebaran ideologi radikal, perekrutan ahli baharu serta promosi bahan propaganda secara dalam talian.
Tangkapan terhadap tiga remaja terbabit di bawah SOSMA turut mengundang kritikan daripada pejuang hak asasi yang mempersoalkan penggunaan akta tersebut terhadap mereka.
Menurut Saifuddin, individu yang ditahan termasuk remaja bawah umur dalam kes itu sedar tentang risiko penglibatan mereka dalam aktiviti berunsur keganasan.
“Ideologi berteraskan keganasan didorong rasa tidak puas hati kelompok ini apabila mereka mendapati apa yang berlaku dalam dunia hari ini, termasuk di negara kita, berbeza dengan ideologi yang diperoleh daripada media sosial.
“Ini mendedahkan mereka kepada pelbagai maklumat tentang aliran ideologi tersebut. Bila mereka mengikuti trend ini dan melihat realiti sebenar dunia, mereka merasakan terlalu banyak percanggahan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2

















































