Selang 15 minit bunyi letupan bom

15 hours ago 7

PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Doha, Qatar menceritakan pengalaman menakutkan apabila bunyi letupan bom kedengaran hampir setiap 15 minit susulan serangan Israel ke atas Iran sejak 28 Februari lalu.

Menurut Hanum, situasi di Doha mula menimbulkan ketegangan sejak beberapa hari sebelum itu, apabila penduduk mula berhati-hati berikutan konflik di rantau berhampiran seperti Pakistan dan Afghanistan.

“Pada 28 Februari sekitar pukul 9.30 pagi waktu tempatan (AST), saya mula melihat laporan bahawa Israel melancarkan serangan ke atas Iran.

“Sekitar jam 12 tengah hari, amaran kecemasan pertama diterima di telefon. Selepas itu, notifikasi dihantar hampir setiap 10 minit, mengarahkan orang ramai supaya kekal berada di dalam bangunan,” katanya kepada Kosmo!.

Hanum berkata, sebaik menerima amaran pertama itu, rasa takut mula menguasai dirinya.

Wanita itu memberitahu, bunyi dentuman kedengaran setiap 15 hingga 30 minit sehingga waktu maghrib ketika orang ramai berbuka puasa.

“Tanpa berlengah, saya terus kemas barang keperluan penting dan dokumen peribadi. Saya membuat keputusan untuk pergi ke rumah ibu saudara supaya kami dapat bersama, memandangkan jarak rumah kami hanya sekitar 10 minit,” kongsinya.

Bercerita lanjut, Hanum menyedari jalan raya masih sesak dengan kenderaan dan ramai penduduk dilihat tergesa-gesa pulang ke rumah, termasuk ada yang menuju ke pasar raya untuk membeli bekalan sebagai persiapan.

Katanya, semua pekerja menerima notis bekerja dari rumah kecuali mereka yang bertugas di bahagian operasi.

Beliau turut menerima notifikasi kecemasan pada pukul 10.28 malam semalam, mengingatkan orang ramai supaya kekal berada di dalam bangunan.

“Tepat sejam kemudian, saya dapat dengar bunyi misil-misil ditembak jatuh lagi. Kerajaan Qatar mengesahkan mereka berjaya memintas 18 misil.

“Pada waktu malam, keadaan semakin parah sebab saya dapat lihat dengan mata kasar misil itu ditembak jatuh,” katanya.

Hanum berkata, dia kekal berada di rumah ibu saudaranya kerana lebih tenang jika tidak bersendirian.

“Dalam situasi seperti ini, kehadiran keluarga memberi sedikit kekuatan. Kami hanya mampu berharap keadaan kembali stabil dan tiada lagi amaran yang membuatkan kami hidup dalam ketakutan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |