Petronas peroleh kebenaran rujuk persoalan kawal selia operasi

5 hours ago 6

PUTRAJAYA – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memperoleh kebenaran untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum syarikat itu di Sarawak.

Mana-mana permohonan untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah tertinggi negara itu sebelum merit permohonan itu dapat didengar pada tarikh lain.

Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah memutuskan demikian selepas syarkat carigali tersebut berjaya memenuhi ambang dalam mendapatkan kebenaran termaktub dalam Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Pada peringkat ini, saya perlu mempertimbangkan sama ada terdapat cabaran terhadap kompetensi Badan Perundangan Negeri Sarawak dalam menggubal, mengubah, meminda, menyemak peruntukan undag-undang yang dinyatakan.

“Perlu diingatkan bahawa ini hanyalah permohonan untuk mendapatkan kebenaran. Pada ketika ini, pihak-pihak perlu menunjukkan sama ada terdapat kes yang perlu dipertikaikan (arguable case) dan bukannya remeh atau salah guna proses mahkamah.

“Saya juga telah meneliti kertas-kertas kausa yang difailkan berkait dengan permohonan ini dan selepas meneliti hujah bertulis dan lisan, saya berpuas hati terdapat isu yang perlu didengar dan diputuskan, ia bukanlah satu permohonan yang remeh atau salah guna proses mahkamah. Saya benarkan permohonan ini dan Petronas perlu memfailkan dokumen sewajarnya dalam masa 21 hari,”katanya.

Pada 10 Januari lalu, Petronas telah memfailkan notis usul untuk memulakan prosiding bagi mencabar keabsahan beberapa undang-undang yang digubal oleh negeri itu berkait dengan operasinya di Sarawak.

Antara undang-undang yang dipertikaikan ialah Seksyen 1(3), 7, 7A dan 8 Ordinan Pengedaran Gas Sarawak 2016; Seksyen 2 Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958; Seksyen 2 Ordinan Taman Negara dan Rizab Semulajadi Sarawak 1998 dan Seksyen 2 Ordinan Tanah Sarawak 1958.

Petronas antara lain memohon pengisytiharan sama ada Badan Perundangan Negeri Sarawak telah bertindak melangkaui atau di luar kuasa perundangannya apabila menggubal, mengubah, meminda, menyemak atau sebaliknya (ketika) membuat undang-undang tersebut.

Mereka juga memohon pengisytiharan sama ada Badan Perundangan Negeri Sarawak telah bertindak melangkaui atau di luar kuasa perundangannya apabila menggubal, mengubah, meminda atau menyemak undang-undang tersebut berkait dengan takrifan “land”, “State land”, “onshore or offshore”, “onshore land and offshore land”, dan “territory of the State” termasuk “Continental Shelf”.

Selain itu, Petronas juga secara alternatif memohon sama ada Badan Perundangan Negeri Sarawak telah bertindak melangkaui kuasanya apabila mentakrifkan “territory of the State” termasuk kawasan seperti yang ditakrifkan oleh Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954 untuk merangkumi pelantar benua.

Petronas juga memohon pengisytiharan sama ada undang-undang bertulis, perundangan subsidiari, instrumen, keputusan atau tindakan pentadbiran yang digubal, dibuat atau dikeluarkan oleh Badan Perundangan Negeri Sarawak yang memberi kesan kepada atau bergantung kepada Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954 adalah tidak sah.

Pada prosiding hari ini, Petronas diwakili peguam Datuk Cyrus Das dan Khoo Guan Huat dan Alex Ngu manakala Kerajaan Negeri Sarawak diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Seri JC Fong. Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |