PETALING JAYA – Beberapa perjanjian strategik yang dimeterai oleh Vietjet bersama syarikat dan institusi kewangan terkemuka Amerika Syarikat dengan nilai keseluruhan lebih daripada AS$6.3 bilion (RM24.57 bilion) di Washington baru-baru ini bakal memberi impak positif kepada syarikat penerbangan Vietjet.
Di bawah perjanjian tersebut Vietjet dan Pratt & Whitney, syarikat di bawah RTX serta peneraju global dalam teknologi enjin pesawat, telah menandatangani perjanjian bernilai AS$5.4 bilion (RM21.06 bilion) bagi pemilihan enjin Pratt & Whitney GTF dan perkhidmatan penyelenggaraan penuh untuk 44 pesawat A321NEO dan A321XLR.
Enjin generasi baharu ini dijangka meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos serta menurunkan pelepasan karbon, sejajar dengan strategi peralihan hijau dan pertumbuhan mampan Vietjet.
Selain itu, Vietjet turut memeterai perjanjian pembiayaan pesawat bersama Griffin Global Asset Management untuk membiayai enam pesawat Boeing 737-8, dengan nilai hampir AS$965 juta (RM3.76 bilion) berdasarkan harga senarai.
Perjanjian ini merupakan langkah penting strategi Vietjet untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan antarabangsa, di samping memperkukuh struktur modal dan kedudukan kewangan selaras dengan piawaian global.
Pengarah Urusan Vietjet, Nguyen Thanh Son berkata, melalui perjanjian-perjanjian ini yang melangkaui kepentingan komersial semata-mata, ia juga dapat mempereratkan kerjasama dalam bidang teknologi dan kewangan, menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan serta memperkukuh integrasi rantaian nilai antara Vietnam dan Amerika Syarikat.
“Perkembangan ini turut menyokong pertumbuhan industri penerbangan dan pelancongan di ASEAN, termasuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Pengukuhan kedudukan kewangan dan peluasan armada Vietjet dijangka meningkatkan kesalinghubungan, kebolehpercayaan perkhidmatan serta kapasiti tempat duduk antara Malaysia dan Vietnam, serta merentasi rantau Asia Pasifik.
Ketika ini, Vietjet mengendalikan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Hanoi, Ho Chi Minh City dan Da Nang, sekali gus menyokong pertumbuhan pelancongan, urusan perniagaan serta mobiliti pelajar antara kedua-dua negara.
Sebagai rakan serantau rapat Vietnam serta pasaran penting bagi perjalanan keluar dan masuk, Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada peluasan berterusan Vietjet.
Peningkatan kapasiti armada dan sokongan kewangan yang lebih kukuh bakal menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan, tambang kompetitif dan kesalinghubungan yang lebih baik di seluruh ASEAN dan seterusnya. -KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2


![[VIDEO] ‘Tak hormat netizen tak apa, tapi tolong hormat bulan Ramadan kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-23-at-5.09.39-PM.jpeg)














































