Pengarah didakwa buat tuntutan palsu lebih RM4 juta

13 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat industri minyak dan gas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung baucar bayaran membabitkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur minyak dan gas di luar negara berjumlah RM4.2 juta.

Bagaimanapun tertuduh Sohpian Ariffin, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan tiga baucar bayaran sebuah syarikat berjumlah RM4.2 juta, masing-masing bertarikh 13 November 2018, 22 April 2019 dan 4 Februari 2020 yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Ia mana dokumen itu diberikan kepada pegawai kewangan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) yang sebenarnya kerja-kerja berkenaan tidak pernah dilakukan oleh syarikat tersebut.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di pejabat MTDC di Jalan Bukit Bintang di sini mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pegawai Pendakwa SPRM A. Selvam mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Putrajaya, selain pasport diserahkan kepada mahkamah serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Riza Makhzan Arifin yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak serta menghidap penyakit asma.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi kesemua tiga pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Tarikh 21 April ini ditetapkan bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |