Nur Farhana dituduh bunuh bayi empat bulan

17 hours ago 8

SEBERANG PERAI – Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia empat bulan, awal Mac lalu.

Tertuduh, Nur Farhana Fazmar Abdullah, 22, hanya mengangguk faham pertuduhan dan hukuman yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kesalahan membunuh di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang bayi kepada Ummu Habibah Wahab, 29, antara pukul 1 hingga 4 pagi di Taska Pintar Hospital Seberang Jaya di sini, pada 9 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.

Semasa prosiding, Nur Amalina menunggu keputusan laporan bedah siasat dan kimia serta memberi tempoh tiga bulan untuk dikemukan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun nanti untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan kedua-dua laporan tersebut selepas dipohon pendakwaan dan tiada jaminan dibenarkan.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Mahkamah Bukit Mertajam kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan keadaan tangan bergari. Bagaimanapun, dikatakan tiada kelibat warisnya yang hadir mengikut prosiding berlangsung.

Sementara itu, mahkamah turut membenarkan jaminan terhadap seorang lagi pengasuh berusia 22 tahun dengan cagaran RM10,000.

Semalam, polis mengesahkan punca kematian bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez akibat lemas.

Ini berdasarkan pemeriksaan awal doktor setelah proses bedah siasat dijalankan terhadap mangsa di hospital berkenaan, baru-baru ini.

Pada 9 Mac lalu, Hayl Haarith ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sama pukul 4.20 pagi.

Susulan kejadian itu, dua pekerja taska ditahan bagi membantu siasatan dan satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tersebut tular di media sosial. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |