BESUT – Kegigihan seorang nelayan mencari rezeki untuk keluarga bagaikan disentap apabila dia menghidap kanser wajah atau right cheek rhabdomyosarcoma tahap empat sejak dua tahun lalu.
Penyakit yang semakin kronik menyebabkan Muhamad Faizol Abdullah, 38, bukan sahaja tidak mampu lagi turun ke laut untuk menangkap ikan, malah terpaksa menjual bot gentian kaca miliknya bagi membiayai kos perubatan.
Bapa empat anak itu berkata, pada mulanya, dia mengesyaki sesuatu tidak kena apabila menyedari ketumbuhan kecil pada bahagian kanan hidungnya pada tahun 2023.
“Bagai mahu luruh jantung saya apabila disahkan menghidap kanser wajah. Hari demi hari muka saya membesar sehingga menjejaskan struktur hidung, mulut dan mata sebelah kanan.
“Ia memaksa saya memakai topeng terutama apabila keluar rumah bagi melindungi wajah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beting Lintang di sini baru-baru ini.
Menurutnya, penyakit kanser dideritai juga menyebabkan selera makannya hilang sehingga berat badannya kini menyusut kepada 58 kilogram (kg) berbanding 80kg sebelum ini.
Katanya, dia perlu menjalani rawatan susulan termasuk kimoterapi di empat pusat perubatan berbeza iaitu Hospital Besut di sini, Hospital Setiu; Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan setiap bulan.
“Hospital ibarat rumah kedua saya. Alhamdulillah, Nur Salmimi Mahmad Zulkepli, 33, tetap setia dan tidak jemu menemani saya menjalani rawatan.
“Begitupun pengorbanannya besar sehingga selalu mengambil cuti sebagai pembantu tukang masak kedai makan, sedangkan dialah yang menyara keluarga kami sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, dia tetap bersyukur menerima bantuan bulanan dan tahunan masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank Muhamad Faizol bernombor 1111841000061092 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 011-12961087.