Majikan berdepan tindakan, warga asing pandu lori tanpa lesen sah

2 hours ago 3

KAJANG – Taktik majikan menggaji warga asing sebagai pemandu lori terbongkar apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggempur sekitar Balakong menerusi Ops Pemandu Warga Asing (PeWA), di sekitar Balakong, di sini hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi bermula pukul 6.30 pagi itu melibatkan 30 pegawai dan anggota JPJ dengan sokongan 10 pegawai Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, sebanyak 13 kenderaan diperiksa membabitkan 11 lori bawah 7.5 tan, sebuah kereta dan sebuah kenderaan lain dan kesemuanya diambil tindakan penguatkuasaan.

“Sebanyak 47 notis tindakan telah dikeluarkan termasuk 47 notis (P)22 serta notis di bawah Seksyen 61(1), 63(1) dan 64(1) Akta Pengangkutan Jalan.

“Tiga kesalahan utama yang direkodkan ialah tiada Lesen Vokasional (GDL) sebanyak 16 kes, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) sebanyak 12 kes dan tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak lapan kes,” katanya pada sidang media di Stesen Penguat Kuasa JPJ Semenyih di sini, hari ini.

Beliau berkata, JIM menahan 13 warga asing terdiri daripada enam warga Pakistan, India (5) dan masing-masing seorang warga Nepal dan Bangladesh untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, antara alasan majikan menggajikan warga asing sebagai pemandu lori ialah mahu menjimatkan kos kerana bayaran gaji yang lebih rendah.

Katanya, pihaknya juga kesal kerana 11 lori dipandu warga asing terbabit digajikan warga tempatan.

“JPJ tiada toleransi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya, termasuk tindakan sitaan kenderaan, pengeluaran notis serta pendakwaan.

“Amaran keras kepada pemilik kenderaan dan majikan turut diber supaya tidak membenarkan warga asing memandu tanpa kelayakan dan dokumen sah, atau berdepan tindakan undang-undang tanpa kompromi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |