‘Lebih segar, lagu raya sekarang dah tak mood sedih je’

23 hours ago 18

SETIAP kali menjelang Syawal, industri muzik tanah air kembali dihiasi deretan lagu raya baharu yang menyemarakkan lagi semangat perantau untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga tercinta.   

Dalam arus muzik moden yang sentiasa berubah, tidak semua penyanyi berani mempertaruhkan karya raya secara konsisten, namun bagi sesetengah anak seni, Aidilfitri adalah pentas istimewa untuk menyampaikan cerita, budaya serta keindahan kebersamaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Dengan semangat memelihara tradisi sambil mengekalkan kemeriahan Syawal, penyanyi Nona Ushera kembali menghadiahkan lagu raya ketiganya berjudul Warna Warni Hari Raya

Sebelum ini, dia pernah mencuri perhatian menerusi lagu Suka Ria Raya (2017), diikuti karya bernuansa Ghazal Melayu tradisional, Kembali pada 2021.

Selepas beberapa tahun tidak menghasilkan lagu raya, kemunculan semula Ushera tahun ini membawa nafas baharu. 

Menariknya, Warna Warni Hari Raya bukan hanya sebuah lagu, tetapi manifesto Aidilfitri yang mengangkat tema kepelbagaian, persahabatan serta keharmonian masyarakat majmuk.

Menurut pemilik nama sebenar Ushera itu, lagu tersebut lahir daripada keinginan menzahirkan kegembiraan Aidilfitri secara menyeluruh.

“Liriknya berkisar tentang kemeriahan raya, suasana pulang ke kampung, berbusana baharu serta segala keindahan Aidilfitri yang penuh warna.

Warna Warni Hari Raya juga membawa tema persahabatan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia yang sentiasa terbuka meraikan semua perayaan bersama. Hari raya ialah masa mengetepikan sengketa dan berkumpul dalam suasana gembira.

“Saya menulis lirik secara bersahaja supaya mudah diingati, namun melodinya tetap segar serta mampu menyentuh hati semua generasi,” katanya kepada HibGlam.

Tambahnya, karya tersebut tidak dihasilkan untuk bersaing, sebaliknya memeriahkan lagi kebangkitan semula lagu raya dalam pelbagai genre sejak kebelakangan ini.

“Kali terakhir saya menghasilkan lagu raya adalah pada 2021 menerusi Kembali, kemudian saya berehat seketika daripada produksi lagu raya.

“Sekarang lagu raya tidak lagi terikat kepada nuansa sedih atau klasik semata-mata. Ia lebih segar dan diterima ramai.

“Melihat sambutan tersebut, saya terdorong melahirkan Warna Warni Hari Raya supaya dapat menjadi sebahagian daripada kemeriahan Syawal dan memberi lebih banyak pilihan kepada pendengar,” jelasnya.

Karya tersebut menyaksikan percubaan Ushera menulis lirik, manakala tugas penerbitan dan komposisi diserahkan kepada suaminya, Ganesh Bala bagi memastikan hasilnya memenuhi suasana bulan mulia. 

Video muzik pula disempurnakan Arnaud Blondel sebagai pengarah video dan fotografi selepas penggambaran dijalankan pada 2 Januari lalu.

Tidak cukup dengan itu, Ushera turut berkolaborasi dengan pereka fesyen terkenal Syomir Izwa Gupta bagi membentuk imej visual yang sinonim dengan identiti moden berbalut retro miliknya. 

Gabungan muzik, busana dan visual menjadikan karya tersebut tampil sebagai pakej lengkap, meriah, segar dan sarat aura perayaan.

Video muzik rasmi lagu tersebut mula ditayangkan di YouTube pada 16 Februari lalu, manakala versi audio boleh dinikmati di Spotify dan Apple Music pada tarikh sama.

Ushera sebelum ini pernah menghasilkan album Semalam Di Malaya pada 2016 yang memuatkan lagu seperti Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, Polynesia Mambo dan Chuchi Kain Chuchi Mata, kesemuanya dipersembahkan dalam gaya asli yang memikat.

Read Entire Article
Pertanian | | | |