Juara Big Stage Alpha? Rizal Rashid enggan terlalu berharap

1 day ago 6

KUALA LUMPUR – Penyanyi kelahiran Brunei, Rizal Rashid enggan meletakkan harapan besar meskipun sering dikatakan sebagai antara calon terkuat untuk menjuarai program realiti, Big Stage Alpha.

Rizal Rashid atau nama lengkapnya Muhd. Rizal Azhiman Mohd. Rasid, 29, berkata, dia memilih untuk memberi fokus kepada kualiti persembahan bagi menambat hati penonton berbanding terlalu mengejar gelaran juara.

“Tekanan itu memang ada kerana ramai peminat dari Malaysia dan Brunei ingin saya menang namun, saya tidak mahu letakkan harapan terlalu tinggi.

“Saya menganggap sokongan ramai itu sebagai satu bentuk motivasi selain dapat menguatkan lagi semangat menjelang persembahan akhir nanti,” katanya ketika ditemui di Big Stage Alpha Showcase yang berlangsung di pekarangan pintu masuk pusat beli-belah terkemuka, Pavilion, semalam.

Tambahnya, dia amat bersyukur kerana ramai mula mempercayai bakat dan yakin dengan potensi dalam dirinya untuk menjuarai pertandingan nyanyian realiti tersebut.

“Fokus utama saya sekarang adalah untuk beri persembahan terbaik buat semua peminat saya yang setia menyokong sejak minggu pertama lagi.

“Kalau ditanya siapa patut disingkirkan, saya rasa tidak adil untuk pilih kerana setiap individu mempunyai kekuatan masing-masing dari segi vokalis, rapper, penari utama dan sebagainya, jadi kami boleh dikatakan saling melengkapi,” katanya lagi.

Tambah Rizal, kekuatan sebenar mereka bukanlah sekadar bakat, tetapi ikatan persahabatan yang terjalin sepanjang tiga bulan sebumbung di kampus Big Stage Alpha.

“Kami mengutamakan keakraban dalam hubungan persahabatan sebagai satu kumpulan untuk menjaga kestabilan hubungan kami nanti selepas debut dan saya tahu detik-detik ini akan dirindui,” ujarnya.

Ahad ni bakal berlangsung final Big Stage Alpha dan para peminat pastinya menantikan persembahan penuh jiwa Rizal serta peserta lain yang bertanding. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |