Imigresen dedah wujud bazar Ramadan di koloni warga asing

15 hours ago 17

PUTRAJAYA- Jabatan Imigresen mendedahkan wujud aktiviti bazar Ramadan yang dikendalikan warga asing khususnya di ‘koloni’ penempatan golongan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya tidak menafikan perkara itu dan ia sentiasa dipantau.

“Saya tak nafikan ada koloni-koloni yang kecil yang mereka juga akan meniaga bersama mereka di kalangan mereka.

“Ini juga tidak terlepas daripada pemeriksaan kita. Tapi ada juga yang terlibat ini dalam kalangan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Kalau mereka ada kad yang sah dan sebagainya memang kita tak boleh nak ambil tindakan undang-undang atau mendakwa mereka, jadi itu yang menjadi kekangan kepada kita,” katanya ketika ditemui pada Program Semarak Ramadan Jabatan Imigresen, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata, pihaknya sentiasa meningkatkan pemeriksaan terhadap warga asing yang berniaga di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini.

“Pemeriksaan mendapati, ada warga tempatan dikesan menggaji warga asing ini secara tidak sah untuk bekerja di bazar Ramadan.

“Berdasarkan operasi sejak awal Ramadan lalu, kami telah memeriksa beberapa bazar di sekitar Lembah Kelang dan telah menahan 23 warga asing,” katanya.

Sementara itu, Zakaria mengesahkan lebih 100,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal sejak pelaksanaan Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) Mei tahun lalu.

“Program itu juga telah memberi pulangan hasil sebanyak RM88 juta kepada kerajaan. Ketika ini, program itu masih berjalan sebelum berakhir April ini.

“Kita masih lagi bincang di peringkat kementerian sama ada untuk teruskan ataupun kita berhenti sehingga April ini. Buat masa ini, belum ada apa-apa keputusan mengenainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |