Garis panduan rancangan realiti agama diperketat

16 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperketat pematuhan garis panduan rancangan realiti agama selain mengukuhkan mekanisme pemantauan kandungan, pembabitan penasihat atau panel syariah serta kerjasama dengan pihak penyiaran.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata, ia bagi memastikan pelaksanaan program realiti agama yang lebih berdisiplin, berhemah dan bertanggungjawab.

“Kerajaan sedia menambah baik garis panduan ini mengambil kira perkembangan semasa dalam landskap media dan teknologi digital supaya garis panduan ini diguna pakai, kekal relevan, jelas serta mampu menjadi rujukan kepada semua pemain industri penyiaran di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr Jufitri Joha pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Marhamah berkata, kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk menghentikan sementara rancangan realiti agama yang disiarkan di mana-mana stesen televisyen.

Katanya lagi, kerajaan turut menekankan kepentingan kefahaman agama dan literasi media supaya masyarakat tidak mengangkat mana-mana individu sebagai simbol mutlak agama, sebaliknya menilai ajaran berdasarkan sumber sahih dan autoriti yang diiktiraf.

“Dalam konteks penyiaran Islam, TV Alhijrah sebagai salah satu agensi di bawah hal ehwal agama melaksanakan tapisan kandungan yang ketat, menubuhkan panel syariah, serta menempatkan pegawai kader JAKIM sebagai penasihat syariah.

“Penceramah yang diundang juga dipastikan memiliki tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Kerajaan komited memastikan penyiaran berunsur agama dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan mematuhi prinsip syariah serta undang-undang, dengan penekanan kepada akauntabiliti serta pemantauan yang berkesan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |