KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan terus berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) dalam mencari mekanisme sokongan yang sesuai bagi membantu pembangunan atlet, termasuk dalam sukan permotoran.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, perkara itu sangat penting dalam usaha memastikan bakat muda terus mendapat sokongan bagi menggalas misi negara di persada antarabangsa.
“KBS dan SIC akan terus berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti kemungkinan penyediaan mekanisme sokongan yang bersesuaian bagi memastikan kesinambungan pembangunan atlet berpotensi termasuk dalam sukan permotoran.
“KBS kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), agensi kerajaan, rakan industri dan penaja korporat bagi memperkukuh pembangunan sukan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelas beliau, KBS menerusi Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) sudah pun menyalurkan peruntukan RM3 juta kepada SIC pada tahun lalu bagi pelaksanaan Program Pembangunan Sukan Permotoran Berprestasi Tinggi.
Peruntukan tersebut melibatkan tiga program utama pembangunan muda negara, iaitu penyertaan Muhammad Hakim Danish Ramli dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup, Qabil Irfan Azlan (ESBK Moto3 Talent) serta Sharf Muhriz dan Adam Danial (Asia Talent Cup).
“Dana ini digunakan bagi menampung kos penyertaan kejohanan, operasi pasukan, latihan serta keperluan pelumba sepanjang musim 2025. Sokongan ini selari dengan pembangunan jangka panjang KBS,” ujarnya.
Pada masa sama, KBS turut meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta kepada Hakim Danish melalui KWASN bagi membantu penyertaannya dalam Kejohanan FIM JuniorGP yang merupakan platform pembangunan sebelum ke Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Sementara itu, Taufiq menjelaskan, keputusan dasar yang dibuat tahun lalu menetapkan permohonan untuk dana KWASN bagi 2026 akan memberi keutamaan kepada sukan-sukan dipertandingkan dalam temasya utama.
Sukan-sukan yang diberikan keutamaan termasuk yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, Paralimpik, Sukan Asia, Para Asia, Sukan Komanwel, Sukan SEA dan Para ASEAN berdasarkan senarai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira temasya-temasya besar yang akan dihadapi kontinjen negara tahun ini seperti Sukan Komanwel di Glasgow, Sukan Asia dan Para Asia di Aichi dan Nagoya,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
8

















































