Esok lusa selamanya Ella

4 hours ago 3

PENTAS gah Arena of Stars di Genting Highlands pada malam minggu lalu menjadi gelanggang Ratu Rock Ella mengimbas memori album kelimanya, Ella USA yang dirakamkan di sebuah studio di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS) hampir 30 tahun lalu.

Naskhah yang memuatkan 14 seleksi lagu bukan biasa-biasa itu menjadi penanda aras bagi kerjaya seni penyanyi asal Klang, Selangor itu apabila menjadi penyanyi pertama merakamkan album penuh di negara Uncle Sam.

Bayangkan, pada 1994 ketika masih ramai penyanyi seangkatan bergelut mengukuhkan posisi, pemilik nama penuh Nor Zila Aminuddin itu meninggalkan jauh rakan lain sebaik mendapat lampu hijau syarikat rakamannya, EMI Malaysia.

Tiga dekad berlalu, Ella seakan-akan membuka semula diari yang memuatkan kisah manis sarat nostalgia menerusi Ella USA 30th Anniversary Concert.

Hampir 5,000 peminat yang membesar bersama dendangannya menjadi saksi pengembaraan Ella dari studio yang pernah menjadi pilihan mendiang Raja Pop Dunia, Michael Jackson merakamkan lagu.

Kisah Gemilang, Rindu, Nuri, Ala Amerika, Penawar, Menanti, Mungkin, Itulah Saya, Permata Pemotong Permata, Risau, Esok Lusa Selamanya, hingga Aku Kau Dia, setiap untaian lagu dikupas satu persatu.

Memanaskan pentas tepat pukul 8.50 malam, lagu Ala Amerika, Itulah Saya dan Risau menjadi pembuka tirai sebelum Ella memperkenalkan pemain gitar legenda asal Jepun, Kyoji Yamamoto menemaninya di pentas.

Figura disegani ramai gitaris tersohor dunia itu diterbangkan dari Hawaii melalui penerbangan panjang sebelum transit di Tokyo untuk memenuhi undangan Ella, sekali gus reunion ikonik kedua-duanya selepas kali terakhir sepentas hampir sedekad lalu pada konsert ulang tahun ke-30 Ella.

Biarpun baru tiba awal pagi Sabtu lalu, energinya tetap pada tahap maksima tatkala mengiringi penyanyi terbabit sepanjang membawakan lapan dendangan bermula dengan lagu Esok Lusa Selamanya.

Sempat bercerita sejarah panjang, Ella mendedahkan penerbit bersama album Ella USA juga penggubah lagu dalam naskhah berkenaan pernah merealisasikan jelajah dengannya di Osaka dan Tokyo pada 1992.

Kolaborasi mereka berlanjutan dua tahun kemudian menerusi sesi rakaman Ella USA di AS yang turut menyaksikan komposer prolifik Datuk M. Nasir turut bertanggungjawab sebagai produser.

Sepanjang dua jam beraksi, Ella tampak energetik bagai tiada lelah apabila menyanyi dan menari tanpa henti bagai anak muda berusia 20-an, bukan individu berumur 59 tahun.

Energetik

Antara seleksi yang membuatkan penonton turut sama berdansa adalah Layar Impian, Pengemis Cinta, Sembilu, Pedih, Retak, Permata Biru, serta Standing In The Eyes Of The World dan Gemilang selaku penutup tirai.

Tidak terasa masa berlalu, tidak hanya persembahan, celoteh dan gurauan spontan menyerlahkan lagi sisi manja penghibur tersebut terutama selepas berduet dengan suaminya, Kapten Azhar turut menghiburkan hati penonton.

Tidak hairan, aksi, dendangan serta sikap yang sangat menghargai sokongan ramai menjadikan setiap konsertnya ‘sarat’ penonton.

Bahkan ramai sanggup meredah kesesakan untuk ‘memanjat’ pusat peranginan tanah tinggi tersebut demi enggan terlepas untuk menjadi sebahagian daripada Ella USA 30th Anniversary Concert.

Apa yang pasti ramai yang berada di Arena of Stars masih belum ‘move on’ bahkan berharap Ella USA 30th Anniversary Concert dijadikan persembahan jelajah.

Genting Malaysia Berhad selaku penganjur turut menyumbangkan tiket konsert percuma sebagai tanda penghormatan kepada anggota bomba dan guru menerusi program Genting Bersama Malaysia.

Read Entire Article
Pertanian | | | |