Di mana kaki kiri, tangan kanan mangsa bunuh?

19 hours ago 6
Lokasi sebahagian anggota badan mangsa dibuang di tapak pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Menggatal, Kota Kinabalu pada Khamis lalu.
  • Oleh IVAN AMIRUL
  • 19 Februari 2026, 11:11 am

‎‎KOTA KINABALU – Siasatan kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat kepada tujuh bahagian masih berjalan termasuk usaha mencari dua lagi anggota badan mangsa yang belum ditemukan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, tiada perkembangan baharu dapat didedahkan setakat ini kerana siasatan masih di peringkat awal dan belum lengkap sepenuhnya.
‎‎
“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas semua hasil siasatan diperoleh,” katanya.

Menurutnya, tempoh reman terhadap ketiga-tiga suspek utama bergantung kepada keperluan siasatan semasa dan polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi melengkapkan siasatan kes.‎

Mengulas mengenai kaki kiri dan tangan kanan mangsa yang belum ditemukan, Syed Lot berkata, suspek ada memaklumkan lokasi pembuangan kepada polis.
‎‎
“Ya. Kita tahu lokasinya, namun pencarian masih dijalankan dan butiran tidak boleh didedahkan buat masa ini,” katanya.
‎‎
Operasi pencarian masih diteruskan walaupun sudah melebihi seminggu bagi memastikan semua bukti penting dapat ditemukan bagi membantu siasatan lanjut.
‎‎
Terdahulu, beberapa bahagian anggota badan wanita ditemukan di dalam tong sampah dan sekitar kawasan rumah kedai di Taman Indah Permai oleh pekerja lori sampah kira-kira pukul 6.30 pagi pada Khamis minggu lalu.
‎‎
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang dipercayai suspek utama, sebelum tiga anaknya turut ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |