‘Dahulu saya sangat liar, dadah, parti, gengster dan merompak’

16 hours ago 7

PETALING JAYA – Pelakon Aedy Ashraf membuat pendedahan mengejutkan apabila berkongsi tentang kisah silamnya yang penuh onak duri sehingga terjerumus ke dalam kancah jenayah.

Menurut Aedy atau nama lengkap Mohammad Addy Ashraf Rosmadi , 33, sebagai anak yang lahir dalam keluarga yang berpecah belah, dia bergelut dalam mengenal erti kehidupan sebenar.

“Dahulu saya sangat liar. Saya dilahirkan ketika bapa saya berada di dalam penjara. Pada usia tujuh tahun saya pernah diculik oleh bapa sendiri.

“Saya membesar bersama ibu dan kakak tanpa figura seorang bapa disisi. Ketika saya berusia 16 tahun saya buat keputusan untuk berhenti sekolah dan keluar dari rumah untuk hidup sendiri.

“Selama 10 tahun saya menjalani kehidupan yang liar. Saya terlibat dengan dadah, berparti di kelab malam ketika bawah umur, terlibat dengan gangster sehingga satu tahap saya terlibat dengan rompakan. Saya pecah kereta,” dedahnya dalam siri podcast Kita-Kita Aje! Kendalian Datuk Aznil Haji Nawawi.

Kongsinya lagi ketika berusia 17 tahun dia ke kelab malam bersama rakan yang lebih berusia daripadanya. Malangnya pada malam itu kelab tersebut diserbu pihak berkuasa.

“Saya lihat kawan saya kena gari. Sewaktu nak keluar dari kelab polis minta kad pengenalan saya. Kemudian mereka tahan tidak bagi saya keluar. Ketika itu saya fikir hidup saya sudah berakhir. Di luar kelab ada wartawan 999 sedang buat liputan.

“Tetapi ada satu hamba Allah yang selamatkan saya pada malam itu. Dia merupakan seorang pegawai polis. Dia tengok saya dan kata aku nak selamatkan kau malam ini. Kemudian dia lepaskan saya,” kongsinya.

Antara pendedahan mengejutkan yang lain adalah Aedy pernah menjadi mangsa gangguan pedofilia ketika berusia 10 tahun.

“Apabila baru-baru ini ada pelakon bangkitkan isu pernah menjadi mangsa, saya juga pernah alami nasib yang sama. Ketika itu saya berusia 10 tahun. Kejadian itu berlaku di dalam kereta. Tangan dia merayap di seluruh tubuh saya.

“Dia orang yang sangat rapat dan ibu saya juga mengenalinya. Dia selalu beri saya hadiah. Pada hari lahir saya dia pernah beli jersi Manchester United. Dan sampai hari ini saya benci Manchester United disebabkan dia.

“Saya ceritakan kejadian itu kepada ibu dan ibu berdepan dengan dia. The rest is history. Saya harap jika kanak-kanak lain yang melalui hal yang sama, tolong bersuara. Ketika itu saya tiada peluang untuk beritahu satu dunia. Yang saya tahu saya mahu pulang ke pangkuan ibu,” dedahnya.

Kini di usia 33 tahun kata Aedy dia sudah belajar memaafkan orang lain dan memaafkan diri sendiri atas apa yang berlaku dalam hidupnya.

“Saya ambil masa selama lebih daripada 10 tahun untuk maafkan bapa saya dan menerima dia. Pesanan kepada lelaki di luar sana yang hidup kucar-kacir, tenangkan diri sendiri terlebih dahulu, cari jalan untuk pulihkan trauma kita sebelum melibatkan orang lain dalam trauma kita. Maafkan diri sendiri dan maafkan orang lain yang jadi punca,” katanya. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |