Cubaan 22 migran warga Indonesia balik ‘kampung’ gagal

10 hours ago 7

BAGAN DATUK – Seramai 22 migran termasuk tiga tekong warga Indonesia yang dalam perjalanan pulang ke Tanjung Balai, Indonesia ditahan polis semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan oleh Pasukan Polis Marin Kampung Acheh di perairan Bagan Datuk itu dijalankan pada pukul 10.50 pagi.

Katanya, tangkapan itu dibuat selepas pihak polis menerima maklumat mengenai sebuah bot dalam keadaan mencurigakan yang disyaki membawa warga asing pada jarak 10 batu nautika dari persisiran pantai Bagan Sungai Tiang, Rungkup.

“Bertindak atas maklumat itu, pasukan Polis Marin telah bergerak ke lokasi bot berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 19 individu berusia antara lima hingga 62 tahun berada di atas bot tersebut.

“Selain itu, tangkapan turut dibuat ke atas tekong berusia 36 tahun dan dua pembantunya masing-masing berusia 33 dan 34 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, bot berkenaan dalam perjalanan membawa kesemua migran tersebut pulang ke Tanjung Balai, Indonesia.

Katanya, dalam operasi itu, rampasan turut dijalankan ke atas bot kayu tidak bernombor bersama peralatan memasak dan alat navigasi serta telefon bimbit.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Tekong bot dan dua pembantunya direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bermula 9 Mac hingga 5 April 2026.

“Manakala, 19 migran lagi direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bermula 9 hingga 22 Mac depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |