PETALING JAYA – Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak saman pemula yang difailkan empat aktivis haiwan terhadap Majlis Daerah Besut (MDB) dan Kerajaan Negeri Terengganu berhubung pembunuhan anjing yang digelar ‘Kopi’ yang didakwa melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Empat aktivis itu selaku plaintif ialah Dr. Kartini Farah Abd. Rahim, S. Mukunnan, Hong Hai San serta Pengerusi Persatuan Penjagaan Anjing dan Kucing Liar, S. Sashi Kumar.
Perkara itu dimaklumkan peguam Adam Luqman Amdan yang mewakili MDB.
Menurut peguam itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Yusrin Faidz Yusoff memutuskan demikian selepas mendapati menembak menggunakan senjata api, adalah dibenarkan undang-undang mengikut Seksyen 30(2)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (AWA 2015).
Dalam penghakimannya, Yusrin Faidz MDB selaku defendan pertama melaksanakan tugas mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Lesen Anjing MDB 1990 dan ia selaras dengan peruntukan.
Selain itu mahakamah berpendapat, Kerajaan Negeri selaku defendan kedua, tidak bertanggungjawab secara vikarius dalam kes ini.
“Berdasarkan Seksyen 30 akta itu dengan jelas membenarkan tindakan menembak dengan senjata api. Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan pihak plaintif bahawa tindakan itu hanya dibenarkan jika ada dua pengecualian dalam Seksyen 30(1).
“Seksyen 30(2) jelas membenarkan pembunuhan dan menembak dengan senjata api untuk semua keadaan untuk kawalan populasi haiwan,” kata hakim itu.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, empat aktivis terbabit tidak mempunyai hak di sisi undang-undang atau ‘locus standi’ untuk bertindak dalam prosiding tersebut.
“Ini kerana plaintif gagal menunjukkan sifat terjejas seperti kerana mereka bukan penduduk di Besut malah tidak menunjukkan sebarang kepentingan sebenar dalam perkara tersebut,” kata Yusrin Faidz.
Kata peguam itu, dalam prosiding hari ini Kerajaan Negeri diwakili Peguam Persekutuan Zulfazliah Mahmud manakala empat aktivis diwakili peguam Harvinpal Kaur.
Sebelum ini, berdasarkan saman yang difailkan plaintif memohon satu deklarasi bahawa tindakan menembak anjing itu dengan menggunakan senjata api adalah melanggar Akta Kebajikan Haiwan (AWA) 2015.
Selain itu, keempat-empat juga mahu satu deklarasi bahawa penembakan haiwan di bawah Seksyen 30 (2) AWA2015 adalah dilarang.
Hal ini kata mereka, Seksyen 30 (1) AWA 2015 jelas memperuntukkan bahawa penembakan menggunakan senjata api terhadap mana-mana anjing, kucing atau haiwan lain adalah tidak dibenarkan.
Sebelum ini, kisah anjing ‘Kopi’ itu mendapat perhatian orang ramai termasuk pencinta haiwan apabila anjing liar itu dipercayai ditembak sekali gus disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.-KOSMO! ONLINE.

13 hours ago
10















![[VIDEO] ‘Pinjam duit mak ayah, jangan buat senyap’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-26-at-09.59.45.jpeg)

































