Bekas Pengarah LKIM dipenjara, denda RM25,000

5 hours ago 3

SHAH ALAM – Pelakuan rasuah bekas Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor dalam pembekalan baja, benih dan racun lima tahun lalu mendapat balasan setimpal apabila dipenjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhi hukuman kepada tertuduh, Khusairi Husain, 59, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan dikenakan tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Penangguhan hukuman bagaimanapun dibenarkan sehingga proses rayuan dibuat pembelaan. Jaminan dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 sebelum ini.

Hakim Mohd. Nasir dalam penghakiman menegaskan tertuduh mengakui menerima wang tersebut namun mendakwa untuk sumbangan bagi Kelab Kebajikan dan Sukan LKIM Selangor.

“Tertuduh bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang resit dan dokumen sokongan bagi membuktikan wang itu diserahkan kepada kelab berkenaan malah turut mengakui sebahagian wang itu digunakan untuk tujuan lain.

“Pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada bukti konsisten dan konkrit. Jadi, pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan melebihi munasabah dalam kes ini,” katanya.

Khusairi didakwa menerima untuk dirinya iaitu wang tunai RM5,000 daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang dia ketahui badan itu ada kena-mengena dengan tugasan rasminya di pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar pada 24 November 2020.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding itu, Peguam Adly Zulfadly Zulkefly mewakili tertuduh dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya merupakan bapa tunggal yang menyara anak-anak masih bersekolah dan bapa yang sakit di kampung.

Jelasnya, anak guamnya juga telah berkhidmat hampir 30 tahun dan merupakan penerima anugerah perkhidmatan cemerlang di jabatannya serta tidak mempunyai rekod jenayah.

“Tertuduh sehingga hari ini telah digantung tugas dan dibekukan jawatan dan tidak lagi berkhidmat seperti mana ditugaskan dalam jawatannya. Jadi, harap denda yang minima selain penangguhan hukuman dengan pihak pembelaan bersepakat memfailkan rayuan (sabitan dan hukuman),” katanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shahruzaman menegaskan sebagai pengarah telah menunjukkan teladan yang tidak baik kepada orang bawahannya dan masyarakat umumnya.

“Mohon hukuman berat dan setimpal dengan mahkamah tidak perlu menunjukkan simpati selepas tertuduh didapati bersalah dengan kesusahan (ekonomi) tertuduh,” jelasnya.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding yang bermula 2022.

Kosmo! pada 20 Julai 2022 melaporkan Khusairi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM5,000 berkaitan pembekalan benih, baja dan racun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |