PETALING JAYA – Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. membelanjakan hampir RM1 juta bagi memastikan kebajikan dan keselamatan jemaah umrahnya terus terjamin susulan perubahan jadual penerbangan akibat ketegangan di Timur Tengah.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, perbelanjaan tambahan itu digunakan untuk membeli tiket baharu termasuk melalui Saudi Airlines bagi menggantikan penerbangan yang dibatalkan.
Menurut beliau, seramai 281 jemaah yang berlepas pada 18 Februari lalu dan sepatutnya pulang pada 1 Mac tidak dapat diterbangkan semula berikutan pembatalan penerbangan oleh Malaysia Airlines atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun katanya, kesemua jemaah berada dalam keadaan sihat dan tenang di Mekah.
“Kesemua jemaah ini, mereka berada di Mekah. Alhamdulillah mereka menjalani kehidupan dan ibadah mereka seperti biasa bersama dengan Datuk Daud Tengah bersama dengan mutawif-mutawif yang memantau keadaan mereka. Kesemua mereka diberikan penginapan percuma, makan minum secara percuma bersama dengan jemaah-jemaah lain.
“Andalusia tetap mengambil kira kepentingan dan keselamatan semua pihak terutamanya para jemaah dan kami membelanjakan hampir RM1 juta tambahan untuk menerbangkan semula jemaah-jemaah,” katanya dalam sidang akhbar secara siaran langsung di Facebook petang tadi.
Tambah Ida Riswana, kumpulan berkenaan bukan ‘terkandas’ seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya hanya menunggu giliran penerbangan pulang.
“Kita tidak perlu menggunakan perkataan terkandas kerana mereka berada di hotel di Mekah dalam keadaan tenang dan selamat, bukan di Jeddah tanpa pengurusan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Andalusia mengambil inisiatif menerbangkan semula 82 jemaah yang penerbangan asalnya dibatalkan dengan menggunakan Saudi Airlines pada pukul 2 pagi semalam.
Bagi penerbangan seterusnya pada 4 Mac melibatkan 48 jemaah, pihaknya turut menggantikan tiket kepada Saudi Airlines tanpa perubahan tarikh.
Sementara itu, dalam lintas langsung semasa sidang akhbar itu, Datuk Ustaz Daud Cik Ngah yang berada di Hotel Olayan Al Haram, Mekah memaklumkan keadaan jemaah di sana adalah tenang.
“Keadaan sangat tenang dan aman. Jemaah tidak cemas, malah mengambil peluang menambah amal ibadat sepanjang Ramadan.
“Jangan meletakkan sangkaan yang bukan-bukan. Apabila syarikat penerbangan menentukan sesuatu penerbangan itu selamat, maka insya-Allah ia selamat,” ujarnya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Kementerian Luar Negeri (KLN) telah memulakan sesi libat urus peringkat tertinggi dengan syarikat penerbangan komersial bagi mempercepatkan pengaturan penerbangan pulang rakyat Malaysia termasuk jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi.
KLN dalam satu kenyataan memaklumkan, pada masa sama, status semua jemaah serta pelajar transit yang berdepan kelewatan perjalanan itu turut dilaporkan selamat.
Kenyataan itu memaklumkan, walaupun situasi keselamatan keseluruhan dan ruang udara kekal stabil serta beroperasi di Arab Saudi, sejumlah besar jemaah Malaysia serta sekumpulan pelajar transit sedang mengalami kelewatan perjalanan akibat penggantungan beberapa penerbangan komersial. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
6


![[VIDEO] Iran hanya sasar markas tentera AS di UAE – Irfan Khairi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-02-at-9.58.02-PM.jpeg)












![[VIDEO] Perang AS-Iran: Harga minyak melonjak, barang naik, ringgit jatuh](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-23-at-09.18.00.jpeg)

































