Ada pemandu bas ekspres berkomplot sindiket seludup PATI

12 hours ago 5

KOTA BHARU – Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) mengesan terdapat pemandu bas ekspres syarikat itu berkomplot dan bersubahat dengan ejen untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, terdapat kes dua pemandu bas ekspres itu yang berusia dalam lingkungan 40-an didapati terlibat dengan kegiatan tersebut pada hujung tahun lalu.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu telah diberi surat tunjuk sebab sebelum dibuang kerja selepas didapati menyalahgunakan kenderaan syarikat untuk kegiatan haram itu.

“Memang ada pemandu bas yang mencari duit tepi dengan mengambil upah membawa PATI. Perbuatan itu dikesan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam bas ekspres.

“Mereka juga tidak membawa PATI itu dari stesen bas, tetapi mengambil warga asing itu di lokasi lain sebelum membawa mereka ke destinasi tertentu. Ada juga kes, pemandu bas ekspres mengambil wang tambang masuk ke dalam poket sendiri kerana ejen yang menyeludup PATI itu tidak membeli tiket,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat – Konsortium E-Mutiara Hulur Kasih Seikhlasnya di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad, Panji di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim memberitahu, berdasarkan maklumat, pemandu bas ekspres memperoleh upah yang lumayan sehingga mereka sanggup untuk berpakat dengan sindiket penyeludupan untuk melakukan kerja yang berisiko.

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya menyambut baik langkah Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk membangunkan sistem pangkalan data pemandu kenderaan berat termasuk bas ekspres di negara ini tidak lama lagi.

“Langkah itu membolehkan proses semakan dilakukan dengan ke atas pemandu menerusi pangkalan data tersebut.

“Dengan adanya pangkalan data itu, kita boleh memeriksa maklumat peribadi pemandu bas ekspres sekali gus mengelakkan daripada mengambil pemandu yang bermasalah bekerja di syarikat pengangkutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |