BANGI – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) sehingga tempoh 38 jam ini belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung status keselamatan kesemua 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 serta kini ditahan oleh rejim Zionis Israel.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya meneliti satu maklumat mengatakan kesemua aktivis tersebut akan dibebaskan pukul 7 pagi waktu Greece atau 12.30 tengah hari waktu Malaysia di pelabuhan Lerapetra, Crete di Greece.
“Ini bermakna kemungkinan mereka tidak dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel. Jadi prosedur itu berbeza dengan sebelum ini.
“Namun, status terkini masih belum dapat disahkan melalui saluran rasmi dan juga kumpulan ground kita di pelabuhan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, SNCC telah berhubung dengan Perdana Menteri dan beliau menyatakan pendirian tegas kerajaan Malaysia termasuk kecaman terhadap pelanggaran dan pencabulan undang-undang antarabangsa oleh pihak rejim.
“Justeru, komitmen berterusan dan maksimum sedang digerakkan bagi membebaskan semua tahanan.
“SNCC dimaklumkan Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra telah mulakan usaha semaksimum mungkin untuk memperhubungi Konsulat Kehormat Malaysia di Greece serta sahabat-sahabat negara melalui usaha diplomasi bagi bagi membantu dan menyelaraskan usaha pembebasan khususnya aktivis Malaysia,” katanya.
Sani Araby berkata, pada peringkat asal, pihaknya menjangkakan kesemua aktivis diculik secara tidak sah dan diletakkan di dalam kapal laut rejim Israel dan seterusnya dibawa ke darat Israel melalui Pelabuhan Ashdod.
“Tetapi informasi melalui kedutaan-kedutaan negara-negara Eropah memaklumkan bahawa ada satu usaha tekanan dilakukan secara besar-besaran khususnya daripada negara Sepanyol, Itali dan juga Eropah lainnya.
“Bukan sahaja menekan, tetapi saya dimaklumkan bahawa mereka juga menunggu untuk menutup pelabuhan di Eropah untuk memberi kesan langsung kepada Israel,” katanya.
Beliau juga difahamkan oleh pihak Wisma Putra bahawa Konsulat dan Malawakil Malaysia sedang bersedia di pelabuhan sekiranya pembebasan aktivis GSF 2.0 khususnya rakyat Malaysia di situ.
“Itu sebaiknya yang kita harapkan, namun semua perkara boleh terjadi,” katanya.
Kosmo! melaporkan, seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 dilaporkan diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim itu.
Insiden tersebut berlaku ketika flotila menghampiri perairan Greece dengan 21 kapal disahkan telah dipintas oleh pihak rejim pada jarak kira-kira 80 batu nautika. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3





![[VIDEO] ‘Kasut ni anak beli, tapi dia meninggal dulu sebelum pergi haji’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-01-at-10.41.15.jpeg)








































