ARAU – Seorang tahanan penjara yang sedang menunggu pihak mahkamah menjatuhkan hukuman bagi kes bunuh ditemui meninggal dunia di Pusat Koreksional Perlis, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak penjara memaklumkan seorang tahanan lelaki meninggal dunia pada pukul 5.25 petang semalam.
Katanya, si mati berusia 28 tahun yang pernah bekerja sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kangar ditahan sejak 17 Mac 2023 atas tuduhan membunuh dan sedang menunggu untuk dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kangar.
“Kira-kira pukul 8 pagi semalam, si mati telah diarahkan untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar bagi menghadiri perbicaraan, namun dia enggan dibawa ke mahkamah.
“Lelaki tersebut dilawati setiap satu jam oleh warden bertugas dan didapati dia hanya duduk diam dan baring di atas tempat tidurnya,” katanya di sini hari ini.
Katanya, sekitar pukul 4.30 petang, warden bertugas yang meronda di sel telah cuba untuk mengejutkan tahanan tersebut yang disangka sedang tidur, namun mendapati si mati tidak lagi bergerak seterusnya mengarahkan lelaki itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dengan segera.
Menurut Ahmad Mohsin, pada pukul 5.10 petang, pihak hospital telah mengesahkan menerima si mati dalam keadaan ‘Brought In Dead’ (BID).
“Hasil siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit telah ditempatkan di Blok Damai Pusat Koreksional Perlis bersama dua lagi banduan tahanan.
“Si mati turut mempunyai rekod psikiatri yang telah dirujuk di beberapa hospital sejak tahun 2017. Siasatan awal pegawai penyiasat kes mendapati tidak menemui sebarang unsur jenayah terhadap lelaki tersebut yang boleh menjurus ke arah punca kematian,” ujarnya.
Tambahnya, arahan telah dikeluarkan untuk bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian sebelum mayat lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi proses bedah siasat pada pukul 8.30 pagi tadi.
Jenazah lelaki itu dijangka dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halaman di Setiu, Terengganu setelah selesai proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE