KUALA LUMPUR – Deftech Unmanned Systems Sdn. Bhd. (DUS), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech), memeterai surat niat (LOI) bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi memperkasakan transformasi sektor pembuatan melalui teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Majlis menandatangani LOI itu berlangsung di reruai Deftech sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.
Ketua Syarikat DUS, Dr. Mohd. Suhaimi Omar berkata, kerjasama itu bertujuan mengintegrasikan penggunaan AI dan analitik data ke dalam ekosistem pembuatan, merangkumi sektor angkasa lepas sehingga automotif.
“Kita mahu meningkatkan keupayaan sedia ada dalam industri 4.0 yang kini banyak bergantung kepada sensor IoT dengan menyuntik elemen AI dan analitik data.
“Ini secara langsung akan membantu pengguna membuat keputusan yang lebih tepat, seterusnya meningkatkan produktiviti dan menjimatkan kos pembuatan,” katanya.
Dokumen LOI berkenaan ditandatangani oleh Dr. Mohd. Suhaimi bagi pihak DUS, manakala UTeM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin.
Majlis turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Deftech, Mohammad Shanaz Mohammad Shees dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof Dr. Zahriladha Zakaria.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Mohammad Shanaz berkata, penglibatan pihak industri dan akademia adalah tonggak utama dalam strategi jangka panjang syarikat bagi pembangunan keupayaan dan pengukuhan ekosistem pertahanan negara.
“Rakan strategik bersama institusi pengajian tinggi membolehkan pemindahan ilmu dan inovasi gunaan dilakukan secara lebih efektif bagi memenuhi keperluan masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Dr Massila berkata, kolaborasi berkenaan mencerminkan komitmen bersama untuk menterjemahkan hasil penyelidikan akademik kepada aplikasi praktikal yang memberi impak kepada industri.
“Kerjasama sebegini mengukuhkan lagi peranan universiti dalam menyokong keperluan industri, transformasi digital nasional, serta pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Skop kerjasama di bawah LOI ini merangkumi perkongsian kepakaran dalam pembuatan dipacu AI, perkongsian sumber penyelidikan, data, kemudahan fasiliti serta pelaksanaan program latihan bersama.
Sebagai perintis dalam sistem tanpa pemandu, DUS sebelum ini sudah mencatatkan kejayaan melalui kerjasama dengan institusi lain seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam membangunkan pesawat tanpa pemandu (UAV) taktikal pertama negara. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
7









![[VIDEO] ‘Moga arwah tarik tangan abang dia sekali masuk syurga sama-sama’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-21-at-10.41.13-AM.jpeg)

































