Cemas nampak peronda, lelaki kantoi bawa ekstasi hampir RM600,000

5 hours ago 7

ALOR GAJAH – Kegelisahan seorang lelaki membawa pil ekstasi bernilai hampir RM600,000 di dalam kereta dipandunya mengundang perhatian anggota peronda sebelum dia ditahan dalam satu operasi di Lebuh Raya Utara-Selatan (Pedas-Ayer Keroh) di sini, minggu lalu.

Lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) yang menjalankan rondaan cegah kemalangan kira-kira pukul 4.30 petang pada 15 April lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, suspek yang dilihat dalam keadaan ketakutan ketika memandu telah menimbulkan curiga sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu suspek, polis menemui dadah jenis ekstasi seberat 3,944.05 gram dianggarkan bernilai RM591,607.50.

“Turut disita sebuah kereta dianggarkan bernilai RM20,000 menjadikan keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM611,607.50,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini, hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai dibawa dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan selatan.

“Bekalan dadah itu dianggarkan boleh digunakan seramai 13,147 penagih dan sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah, namun semakan rekod lampau mendapati lelaki itu mempunyai empat kes berkaitan dadah,” ujarnya.

Beliau berkata, antara kesalahan lampau termasuk Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(3) Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Jelasnya, suspek yang pernah menjalani tahanan di bawah LLPK selama dua tahun pada Jun 2023 itu kini direman selama tujuh hari bermula 16 April hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya lagi, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 15 sebatan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |