Pos terus barang, elak bilik penginapan sesak

1 day ago 7

MEKAH – Jemaah haji disarankan mengepos segera barangan yang dibeli di Tanah Suci selewat-lewatnya sebelum hari Wukuf bagi mengelakkan kesesakan di dalam bilik penginapan serta bagi menumpukan ibadah haji semasa Masyair.

Pengurus Khidmat Luar Tabung Haji (TH), Mohamad Zamry Mohd. Noor berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, lima kaunter penghantaran yang disediakan TH mendapat sambutan menggalakkan dengan 85 tan barangan telah dipos bermula 29 April lalu.

“Jumlah nilai keseluruhan yang dicatatkan setakat 18 Mei lalu adalah sebanyak 1.5 juta Riyal Saudi yang dihantar oleh jemaah yang berada di Tanah Suci. Ada lagi jemaah yang belum datang.

“Bila pergi membeli belah terus ke kaunter penghantaran di lobi-lobi bangunan penginapan, terus pilih kotak-kotak yang sesuai. Jadi, kalau setiap orang bawa barang ke dalam bilik, penuh sesak bilik,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Sebanyak lima syarikat dibenarkan beroperasi iaitu TH Travel & Services Sdn. Bhd., Pos Malaysia Berhad, FGV Transport Services Sdn. Bhd., MASkargo Logistics Sdn. Bhd. dan KTH Logistics Sdn. Bhd.

Di Madinah, perkhidmatan tersebut disediakan di Hotel Saja Al Madinah, Hotel Emaar Royal dan Anwar Al Madinah Movenpick, manakala di Mekah ia ditawarkan di Abraj Al Janadriyah, Qasar Janadriyah, Rehab Janadriyah, Abraj Al Tayseer, Diary Al Saad, Land Premium dan Al Fajar Al Badee 5.

Beliau turut meminta jemaah haji supaya merancang membeli belah serta penghantaran balik barangan lebih awal.

“Jangan dekat-dekat dengan Hari Wukuf dan sebagainya. Poskan awal-awal supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada ibadah haji itu sendiri.

“Sekiranya lewat, kelam-kabutlah semua. Kita mahu pergi ibadat, mahu tumpu kepada ibadat itu, (bimbang) terganggulah sikit,” katanya.

Beliau memberitahu, jemaah boleh menghantar naskhah al-Quran melalui perkhidmatan pos dengan setiap naskhah dibungkus dan dilekatkan pelekat khas, serta dikendalikan secara berasingan bagi memastikan ia selamat dan terpelihara.

“Mengikut perjanjian antara TH dan syarikat penghantaran, setiap bungkusan dilindungi takaful serta dijamin sampai ke Malaysia. Jika berlaku kehilangan, syarikat bertanggungjawab membayar ganti rugi kepada jemaah.

“Bagi barangan bernilai melebihi RM1,000, jemaah juga boleh memilih untuk mengambil perlindungan insurans tambahan dengan membuat bayaran kepada syarikat penghantaran berkenaan,” katanya.

Tambahnya, jemaah juga dilarang untuk mengepos air zamzam yang dikategorikan sebagai barangan larangan oleh Kerajaan Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |