Dulu lebih setahun, kini 6 bulan selesai siasat kes profil tinggi

1 day ago 7

BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memendekkan tempoh siasatan termasuk kes berprofil tinggi iaitu dari setahun setengah kepada enam bulan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan tersebut adalah selepas latihan dan kemahiran kepada pegawai selain penggunaan teknologi terkini di dalam pendekatan dibuat pihak SPRM.

“Jika dahulu, mungkin kita ambil masa begitu panjang, contohnya kes berprofil tinggi mengambil masa setahun setengah untuk melengkapkan kertas siasatan. Tetapi sekarang dalam tempoh enam bulan, kita boleh melengkapkannya.

“Kita lengkapkan siasatan kes dalam tempoh yang pendek. Ini adalah perkara saya boleh katakan, diterjemahkan daripada visi kami tujuh atau lapan tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025 di sini hari ini.

Seramai 250 pegawai baharu SPRM menerima pentauliahan, terdiri daripada 74 graduan program Pascadiploma Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa: Kepimpinan Anti-Rasuah (Tahap 7) dan 176 graduan program Diploma Profesional Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa: Pengajian Anti-Rasuah (Tahap 5).

Azam berkata, beliau tidak melihat langkah untuk menambah bilangan pegawai SPRM secara besar-besaran sebagai penyelesaian dalam membanteras rasuah di negara ini.

“Apa yang penting ialah kita punya pendekatan. Apakah pendekatan kita terbaharu? Tak guna kalau kita tambah pegawai begitu banyak, tetapi tanpa memperkasa kemahiran pegawai-pegawai ini.

“Tanpa pendekatan terbaharu dan teknologi baharu, ia tidak mempengaruhi apa yang kita ada sekarang.

“Itulah angan-angan kami untuk meningkatkan kemahiran pegawai-pegawai kita melalui pengetahuan, pendekatan baharu dan teknologi terkini supaya kes dapat dijalankan dengan begitu cepat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah perubahan yang dilaksanakan oleh SPRM, antaranya menyemak semula modul siasatan serta menilai semula prosedur lapuk supaya tempoh itu dapat dikurangkan berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Contohnya sekitar 10 tahun lalu, kita kerah ramai anggota untuk kenal pasti saksi dan suspek. Tapi sekarang kita guna teknologi untuk mengesan mereka. Dalam tempoh sangat singkat, kita dapat mengesan individu yang dicari,” katanya.

Katanya, langkah lain yang dibuat ialah jalinan kerjasama strategik dengan universiti di dalam dan luar negara bagi memperkukuhkan kepakaran pegawai SPRM. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |