PETALING JAYA – Fenomena perceraian dalam kalangan wanita berkerjaya semakin mendapat perhatian apabila tekanan berganda yang dihadapi oleh golongan ini menjadi antara faktor utama keruntuhan rumah tangga.
Peguam syarie, Fahmi Ramli menerusi perkongsian di kumpulan Telegram berkata, beliau telah mengendalikan lebih 200 kes perceraian sejak tahun 2014 dan kebanyakan wanita berkerjaya sering terbeban dengan pelbagai tanggungjawab sehingga menjejaskan keharmonian perkahwinan mereka.
Katanya, wanita hari ini bukan sahaja memikul beban kerjaya, malah turut menanggung tanggungjawab di rumah seperti menguruskan anak, memasak dan mengemas, walaupun selepas seharian penat bekerja.
“Sepanjang saya mengendalikan kes perceraian dikalangan wanita berkerjaya terdapat beberapa tekanan unik yang mereka lalui antaranya beban kerjaya, tanggungjawab di rumah dan masalah perhubungan dengan pasangan.
“Ada suami yang rajin. Tak dinafikan. Tapi banyak kes suami yang melepaskan semua tugasan di rumah seperti menguruskan anak, mencuci pinggan, membasuh, melipat baju dan lain-lain sebagai tugas wanita. Tambah berat bila suami sering keluar melepak dengan kawan-kawan tanpa rasa simpati kepada isteri,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa tekanan mental dan ekonomi menjadi penyumbang besar kepada perceraian.
Jelasnya, wanita berkerjaya sering kali menghadapi tekanan akibat stres di tempat kerja, keletihan fizikal dan emosi selepas melahirkan anak, serta beban kewangan yang semakin meruncing, khususnya bagi mereka berkehidupan di bandar.
“Kalau nak berhenti kerja, hutang peribadi sejak zaman belajar masih ada. Pasangan juga tak mampu nak bayarkan. Belum kira dengan waktu keluar dan balik kerja yang banyaknya habis diatas kereta sahaja,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, masalah komunikasi dan sikap pasangan turut menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada perceraian.
“Bila tidak dapat pasangan yang saling memahami dan boleh saling membantu dalam urusan rumahtangga, maka ia menjadi beban kerjaya yang berat buat seorang wanita. Akhirnya, ia akan menjurus kepada perceraian disebabkan sikap pasangan itu sendiri,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kebebasan ekonomi dan kesedaran diri yang semakin tinggi dalam kalangan wanita hari ini juga mendorong mereka untuk tidak terus bertahan dalam perkahwinan yang toksik.
“Banyak wanita yang berkerjaya tidak kisah jika suami tidak mahu beri nafkah disebabkan isteri itu dikatakan sebagai nusyuz walaupun belum ada perintah.
“Ini kerana banyak isteri yang kerja mempunyai aset dan pendapatan sendiri dan tak bergantung harap pada seorang suami,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE