Bas bawa pelajar UPSI gagal pemeriksaan audit

1 day ago 6

GERIK – Pengendali bas persiaran terlibat dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar universiti di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) didapati gagal Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JISA).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, terdapat tujuh perkara mandatori dalam audit tersebut dan syarikat itu gagal mematuhinya.

Katanya, tujuh perkara tersebut ialah keperluan pegawai keselamatan atau penyelia keselamatan, kelajuan dipantau oleh GPS, had maksima lapan jam pemanduan dipatuhi oleh pemandu dan keperluan waktu rehat 30 minit setiap empat jam pemanduan.

Selain itu ialah GPS dipasang dalam semua kenderaan, pelan tindakan kecemasan (ERP) dan hotline syarikat disediakan untuk aduan pelanggan.

“Syarikat tersebut dari segi auditnya memang gagal. Ada tujuh perkara mandatori yang kita audit, dan dia memang gagal dalam perkara-perkara tersebut,” katanya kepada pemberita semasa meninjau bangkai bas tersebut di luar bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.

Dikatakan GPS bagi memantau kelajuan tidak diaktifkan, selain tiada pemantauan had maksima lapan jam pemanduan untuk dipatuhi oleh pemandu serta keperluan waktu rehat 30 minit setiap empat jam pemanduan.

Anthony berkata, beliau telah mengarahkan JPJ untuk membuat audit JISA secara besar-besaran terhadap semua syarikat pengendali pengangkutan awam termasuk bas dan lori.

Tegasnya JISA bukan baharu, sebaliknya telah dilakukan sepanjang masa secara berkala, namun mengakui tahap pematuhannya sangat lemah.

“Perkara ini bukan baharu, mereka (syarikat pengendali) tahu syarat-syarat ini. Tetapi dari segi pematuhan itu memang sesuatu yang sangat lemah.

“Saya bagi amaran kepada semua syarikat pengendali, lebih baik mereka buat pematuhan dan buat audit mereka sendiri sebelum JPJ masuk mengaudit. JPJ akan buat operasi mengaudit syarikat-syarikat pengendali ini secara besar-besaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |