‘Panas dari Dubai ke Abu Dhabi, suhu cecah 51 selsius’

8 hours ago 2

PETALING JAYA – Berdepan cuaca panas melampau dari Dubai ke Abu Dhabi antara cabaran yang perlu ditempuhi pelakon Amar Baharin bagi melengkapkan misi berbasikal Kembara ke Mekah ketika ini.

Amar atau nama penuhnya Amar Mohd Baharin, 40, berkata, suhu di Abu Dhabi mencecah lebih 50 darjah selsius namun misi tersebut berjaya dilunaskan dengan baik sebelum menyambung perjalanan ke Arab Saudi.

“Cuaca terlalu panas untuk perjalanan kami dari Dubai ke Abu Dhabi hari ini, suhu mencecah mencecah 51 darjah selsius.

“Alhamdulillah selesai 110 kilometer kayuhan untuk hari ini, cuma keadaan badan agak lemah sedikit,” katanya dalam Instagram.

Dalam masa sama, Amar berkata, dia dan rakan seperjuangan misi tersebut iaitu Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin perlu mendapatkan rehat yang cukup untuk meneruskan ke lokasi seterusnya.

Dia juga sempat menitipkan rasa rindu terhadap isteri tercinta, Amyra Rosli dan dua anak mereka selepas hampir tiga minggu berjauhan.

“Kami perlukan lebih masa untuk pulih bagi menghadapi cuaca yang lebih ekstrem di Tanah Arab.

“Doakan perjalanan kami, Allah SWT permudahkan. Rindu isteri dan anak-anak,” ujarnya.

Sementara dalam ruangan komen, ramai rakan artis dan orang ramai terus mendoakan perjalanannya ke Mekah dilindungi dan dipermudahkan.

“Terus kuat! Semoga Allah permudahkan semuanya Amar. Allahumma amin!” komen Zahiril Adzim

“Semoga dilindungi oleh Allah buat Amar dan juga keluarga di Malaysia juga,” kata Sharifah Shahirah.

Amar dan Muqharabbin memulakan kayuhan dari Perlis pada 27 April lalu sebelum merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran sebelum tiba di Arab Saudi.

Mereka dijangka tiba di Madinah pada Julai depan.

Sebelum ini, Amar memaklumkan akan menyertai misi kayuhan ke Mekah sejauh 8,000 kilometer. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |