KSSA penzahiran visi tujuh tahun Raja Muda Selangor

9 hours ago 2

SHAH ALAM – Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akan menjadi mercu tanda era baharu pembangunan bandar mampan.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ia bukan sekadar kemudahan sukan sebaliknya menjadi ruang awam yang inklusif untuk sukan, budaya, seni dan pembelajaran sepanjang hayat.

Titah baginda, KSSA adalah penzahiran sebuah visi yang telah diusahakan baginda selama tujuh tahun.

“Beta berharap KSSA berdiri sama gah antara destinasi paling ikonik di dunia seperti Queen Elizabeth Olympic Park di London, Melbourne Sports Precinct atau Marina Bay di Singapura.

“Bukan hanya sebagai stadium tetapi merangkumi kehidupan, suara dan impian,” titahnya pada majlis penyerahan surat setuju terima pembangunan KSSA di sini, hari ini.

Pada program itu, Tengku Amir berkenan menyaksikan penyerahan surat tersebut antara Menteri Besar MBI (Pemerbadanan) (MBI Selangor) yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Saipolyazan M. Yusop dan Pengarah Urusan Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Imran Salim.

MRCB melalui anak syarikatnya Lembaran Prospek Sdn. Bhd. dilantik sebagai pemaju bagi pembinaan semula projek tersebut yang bermula hari ini.

Tengku Amir Shah menegaskan, KSSA direka bentuk bagi manfaat rakyat dan masa depan tanpa meminggirkan nilai tradisional yang sekian lama menjadi identiti negeri ini.

“Ini wajah Shah Alam yang ingin tunjukkan pada hadapan dan dunia. Ia melangkaui peningkatan pembangunan infrastruktur mencerminkan komitmen yang berpandangan jauh ke hadapan untuk mempertingkatkan daya huni dan kualiti hidup jangka panjang di Selangor,” titahnya.

Baginda turut bertitah, Taman KSSA yang merupakan hab komuniti dan komponen utama dalam pembangunan keseluruhan KSSA akan menyaksikan buat pertama kalinya pelaksanaan pemulihan ekologi melalui penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

“Ia akan dilengkapi dengan sistem mitigasi banjir bawah tanah yang canggih dan berautomasi sepenuhnya merangkumi kolam tadahan seluas empat hektar untuk mengurus limpahan air dan mengurangkan risiko banjir,” titahnya.

Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapannya memberitahu, KSSA harus berfungsi lebih sebagai stadium bola sepak.

“Visi kami adalah untuk meletakkan stadium ini sebaris dengan stadium ikonik terkemuka di peringkat antarabangsa.

“Tidak seperti fasiliti terdahulu yang berfungsi terutamanya sebagai stadium bola sepak dan hanya digunakan kurang daripada 30 hari setahun, KSSA yang baharu sedang dibayangkan semula sebagai kawasan yang meriah dan pelbagai guna yang direka untuk kegunaan sepanjang tahun,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |