PETALING JAYA – Tidak sengaja beri hadiah minyak rambut kepada seorang guru yang mengalami masalah kepala tidak tumbuh rambut antara pengalaman kelakar diceritakan seorang wanita ketika zaman kanak-kanaknya.
Wanita itu yang menggunakan nama akaun TikTok syafafwati.aziz berkongsi kisah tersebut pada ruangan komen hantaran TikTok bae_120808 berkaitan cerita lucu daripada orang ramai berhubung hadiah Hari Guru.
“Masa sekolah rendah hadiahkan minyak rambut, dah bagi kat cikgu baru perasan dia botak. Esoknya cikgu ucap terima kasih khas kat aku dalam kelas. Dia cakap ada satu hadiah paling bermakna minyak rambut. Adoi, satu kelas gelak, tak keruan hidup aku hari tu,” katanya.
Seorang guru, Illa Ismail berkata, dia pernah mendapat hadiah jam tangan milik ibu kepada anak muridnya dan telah memulangkan semula kepada wanita tersebut.
“Saya pernah dapat hadiah daripada anak murid seorang ni, banyak sangat dia bagi salah satunya jam. Saya pula jenis suka kongsi ‘status’ (di media sosial), sekali mak dia mesej, ‘ustazah tu jam saya, patutlah saya cari kat rumah tak jumpa’. Kalau tak buat ‘status’, sampai ke sudah lah mak dia cari jam tu. Lepas ni ibu bapa kena peka periksa harta-harta kat rumah tu,” katanya berjenaka.
Pengguna TikTok SitiZulaikha9184 yang juga seorang guru berkata, kisah lucu dialaminya apabila menerima hadiah bungkusan gula-gula, namun kesemua isi tersebut kosong telah dimakan murid yang juga pemberi hadiah.
“Kedai koperasi sekolah ada buat jualan hadiah hari guru. Adalah satu set tu hadiah bungkusan gula-gula saya dapat daripada murid. Elok berbungkus kemas, tapi bila buka, gula-gula semua tinggal plastik saja. Budak-budak biasalah, banyak je lagi kisah lawak bab hadiah ni. Tapi yang ni paling tak boleh lupa,” ujarnya.
“Masa jadi cikgu tadika, budak laki ni bagi hadiah coklat kat saya. Lepas bagi, tiba-tiba dia menangis. Rupa-rupanya dia nak coklat tu, maka bagi lah dia makan,” cerita MeowDadan pula.
“Kawan saya dapat empat sejadah daripada murid lain-lain, dia bukan Islam. Kawan saya okay saja, dia bagi sejadah dekat kawan-kawan Islam yang lain. Dia pun tergelak sebab hadiah tu,” kata pengguna TikTok Damy.
“Saya dapat piala bola sepak, murid tu bawa piala kemenangan bapa dia,” kongsi seorang pengguna TikTok dikenali sebagai Lken.
“Saya dapat gincu, sekali gincu mamanya yang sudah kena guna. Kalau baru beli, bentuk masih tajam. Yang dapat tu, hampir tumpul dah,” komen Irene Dickson. – KOSMO! ONLINE